Friday, October 3, 2014

Pemegang PhD termuda hanya berusia 24 tahun 2 bulan

 
“Saya tidak pernah menyangka akan menerima gelaran doktor falsafah (PhD) pada usia yang muda seperti ini, namun gembira kerana ia pencapaian paling membanggakan dalam hidup,” kata pemegang ijazah PhD termuda pengajian matematik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Hazzirah Izzati Mat Hassim.


Hazzirah Izzati, 24, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dan menganggapnya sebagai kunci kejayaannya. 


Beliau dilahirkan pada 18 Mei 1990 di Kota Bharu, Kelantan merupakan anak seorang Penolong Pegawai Perubatan manakala ibunya ialah seorang guru.

Memang sejak bersekolah di peringkat rendah hingga ke peringkat menengah beliau merupakan seorang pelajar yang sangat pintar dan sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

Tidak hairanlah bekas pelajar MRSM Kuala Krai dan Pengkalan Chepa ini juga telah mendapat tajaan biasiswa daripada pihak MARA semasa beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dan telah mendapat kepujian kelas pertama.



Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, dia turut menjadikan pakar serta penyelidik dari luar negara sebagai rujukan bagi menambah pengetahuan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Bidang matematik tulen belum berkembang luas di negara ini dan sumber rujukannya seperti pakar juga terbatas.

“Disebabkan itu, saya meminta bantuan daripada penyelia akademik untuk memperkenalkan dengan penyelidik dari universiti di Iran dan Itali.


“Walaupun berjaya mengenalinya, tetapi cabarannya tetap ada kerana perlu berkomunikasi dengan mereka melalui e-mel dan kadangkala saya hampir berputus asa namun sokongan keluarga dan pensyarah menguatkan semangat untuk terus memberi fokus,” katanya.


"Bagi saya, yang penting kita kena berani. Malah, berani itu kata kunci yang saya guna sejak dari bangku sekolah lagi. Jangan pernah berputus asa biarpun dihujani dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tambahan pula bidang pengajian yang saya pilih ini masih baru di negara ini.

Hazzirah Izzati ditemui di Bangunan Canselori UTM selepas menerima sijil daripada Malaysia Book of Records (MBR) selepas diiktiraf sebagai pemegang PhD termuda iaitu pada usia 24 tahun dua bulan. 

Baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Muhamad Najib Zakaria, 26, pada 13 September lalu, Hazzirah Izzati mengakui kejayaan yang dikecapinya memberi suntikan semangat untuk dia terus melakar kejayaan pada masa akan datang.

Tahniah admin ucapkan kepada saudari Hazzirah Izzati kerana telah mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Malaysia Book of Records (MBR). Semoga kejayaan beliau menjadi pendorong kepada anak-anak muda yang masih menuntut agar sentiasa berusaha tanpa rasa jemu dan putus asa demi mencapai kejayaan yang cemerlang.












1 comments:

Unknown said...

Ya Allah bagusnya dia..tahniah dik

Post a Comment