Jangan
hanya pandang pada fizikal seseorang. Walaupun dilahirkan dengan
berbadan kecil , namun berjiwa besar. Tahniah Emy Aridah menerima Ijazah
Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Universiti Malaysia Sabah.
“Saya tidak pernah berkecil hati, malah
terhutang budi kepada rakan, pensyarah serta kakitangan yang banyak
membantu sepanjang berada di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” kata
graduan kerdil, Emy Aridah Aripin, 26, yang dianugerahkan Ijazah Sarjana
Muda Perakaunan dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen UMS ke-16, di
sini, semalam.
Emy Aridah yang kini bertugas sebagai pembantu perakaunan dan
juruaudit di sebuah firma audit sekitar bandar raya ini turut merakamkan
penghargaan kepada UMS yang begitu prihatin terhadap kebajikan
pelajarnya.
Anak sulung daripada lima beradik itu turut mengakui sering menjadi
tumpuan di kalangan pelajar UMS berikutan ketinggiannya 98 sentimeter
dengan berat 24 kilogram.
“Sepanjang berada di UMS, saya tidak mengalami banyak masalah kerana
sentiasa dibantu tiga rakan karib yang sama-sama menuntut sejak dari
peringkat diploma lagi selain mendapat bantuan serta sokongan rakan
lain.
“Selain itu, UMS juga memberi kemudahan bilik hostel di tingkat bawah
bagi memudahkan pergerakan saya setiap hari untuk pergi dan balik
kuliah,” katanya ditemui selepas menerima penganugerahan yang
disampaikan Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah di Dewan
Canselor UMS, di sini, semalam.
Emy Aridah berkata, dia turut mendapat bantuan daripada rakan
karibnya yang sentiasa mengambilnya menggunakan kereta untuk pergi ke
kuliah.
“Secara peribadi saya amat terhutang budi kepada mereka kerana
terpaksa menjadi ‘pemandu’ saya setiap hari untuk pergi ke kuliah dan
mereka langsung tidak meminta balasan daripada saya.
“Saya menganggap mereka sebagai adik-beradik meskipun selepas ini
kami akan mencari haluan masing-masing,” katanya yang memberitahu tiga
rakannya itu ialah Hazimah Zaiman, Azizah Abdul Kadir dan Noor Kaziemah
Sariman.
2 comments:
Alhamdulillah..keyakinan yang tinggi dan usaha yang tak sia-2 serta tak pernah memilih pekerjaan adalah contoh yang terbaik... Tahniah untuk emy...
yup setuju dengan CintaHati Lina, yang penting cari pengalaman dulu kan...
Post a Comment