Thursday, November 27, 2014

Kerdil Tapi Punya Semangat Besar




Jangan hanya pandang pada fizikal seseorang. Walaupun dilahirkan dengan berbadan kecil , namun berjiwa besar. Tahniah Emy Aridah menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Universiti Malaysia Sabah.

“Saya tidak pernah berkecil hati, malah terhutang budi kepada rakan, pensyarah serta kakitangan yang banyak membantu sepanjang berada di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” kata graduan kerdil, Emy Aridah Aripin, 26, yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen UMS ke-16, di sini, semalam.

Emy Aridah yang kini bertugas sebagai pembantu perakaunan dan juruaudit di sebuah firma audit sekitar bandar raya ini turut merakamkan penghargaan kepada UMS yang begitu prihatin terhadap kebajikan pelajarnya.

Anak sulung daripada lima beradik itu turut mengakui sering menjadi tumpuan di kalangan pelajar UMS berikutan ketinggiannya 98 sentimeter dengan berat 24 kilogram.

“Sepanjang berada di UMS, saya tidak mengalami banyak masalah kerana sentiasa dibantu tiga rakan karib yang sama-sama menuntut sejak dari peringkat diploma lagi selain mendapat bantuan serta sokongan rakan lain.

“Selain itu, UMS juga memberi kemudahan bilik hostel di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan saya setiap hari untuk pergi dan balik kuliah,” katanya ditemui selepas menerima penganugerahan yang disampaikan Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah di Dewan Canselor UMS, di sini, semalam.

Emy Aridah berkata, dia turut mendapat bantuan daripada rakan karibnya yang sentiasa mengambilnya menggunakan kereta untuk pergi ke kuliah.

“Secara peribadi saya amat terhutang budi kepada mereka kerana terpaksa menjadi ‘pemandu’ saya setiap hari untuk pergi ke kuliah dan mereka langsung tidak meminta balasan daripada saya.

“Saya menganggap mereka sebagai adik-beradik meskipun selepas ini kami akan mencari haluan masing-masing,” katanya yang memberitahu tiga rakannya itu ialah Hazimah Zaiman, Azizah Abdul Kadir dan Noor Kaziemah Sariman.

2 comments:

Linakhtar said...

Alhamdulillah..keyakinan yang tinggi dan usaha yang tak sia-2 serta tak pernah memilih pekerjaan adalah contoh yang terbaik... Tahniah untuk emy...

Unknown said...

yup setuju dengan CintaHati Lina, yang penting cari pengalaman dulu kan...

Post a Comment